Thursday, 17 January 2013

GURU SILAT ABJAD MALAYSIA





SANAD SILAT ABJADKU
AL-ALLAMAH TUAN GURU HAJI MAHMUD NASRI OTHMANI
Hj Mat Selama Perak·
Dilahirkan pada 13 Safar 1316 / 14 Julai 1898
di Kampung Alor Besar, Kota Sarang Semut, Kedah.
Pulang ke Rahmatullah pada 28 Safar 1400 / 16 Januari 1980
Dilahirkan dan kembali ke Rahmatullah pada hari Rabu
Pengenalan
Nama Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri bukanlah nama yang asing di kalangan masyarakat negeri Kedah dan Seberang Perai. Beliau dikenali sebagai seorang ulama, tuan guru dan pengasas Pondok Lanai Negeri Kedah Darul Aman yang dikenali sebagai Madrasah Misbahul Salam. Selain itu, beliau juga menjadi guru agama di surau-surau dan masjid-masjid yang menjemput beliau mengajar kitab-kitab dalam bidang tauhid, feqah , usuluddin, tasauf dan lain-lain. Isterinya juga mengajar Al-Quran dan kitab-kitab asas fardhu ain. Tuan Guru Sheikh Mahmud banyak memenuhi masa lapangnya dengan beruzlah bersendirian bagi mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T.
Silsilah Keturunan
Keturunan bapa : Haji Mahmud Nasri Othmani bin Haji Othman bin Haji Senik bin Haji Wan Hashim bin Haji Wan Abdul Wahab.
Datuknya ialah Allahyarham Assyahid Tok Nik Had keturunan Tok Mekong Awang Hitam, seorang hulubalang melayu yang syahid dipancung oleh tentera siam ketika sedang menunaikan solat di pinggir medan perang mempertahankan Pattany sekitar tahun 1730M.

Keturunan ibu : Haji Mahmud Nasri bin Hajjah Kamaliah binti Haji Saman bin Haji Abd Samad (Tok Fakeh) bin Hashim bin Wan Abdul Wahab.

Haji Mahmud adalah cicit kepada penghulu kampung Bera Pattany. Semasa kejatuhan Pattany, Wan Hashim (anak kepada AsSyahid Tok Nik Had (Tok Mekong Awang Hitam) telah berpindah ke Negeri Kelantan. Bapanya Haji Othman dilahirkan di Kampung Kuala Lengkung, kawasan bendang padi di pendalaman Kampong Belimbing dalam Jajahan Pasir Mas. Haji Othman dibesarkan dan dididik oleh datuknya dengan pelajaran agama dan kemudiannya di Pondok. Setelah dewasa, Haji Othman dibawa oleh datonya ke Negeri Kedah dan dijodohkan dengan ibunya (Hajjah Kamaliah) bagi merapatkan semula pertalian keluarga keturunannya.

Hasil perkongsian hidup itu, ibubapanya telah dikurniakan Allah SWT dengan 10 orang anak iaitu Ismail, Mahmud Nasri, Saat, Ahmad, Aisyah , Salmah, Cik, Zainab, Rokiah, dan Huduh.

Pengajian Agama
Haji Othman dan Hajjah Kamaliah yang mempunyai pendidikan agama yang baik telah membesar dan mendidik Haji Mahmud. Pada usia 7 tahun, Haji Mahmud telah khatam Al-Qu’ran dan beliau diserahkan kepada seorang guru Al-Quran yang mahir (berasal dari Pattany tetapi telah menetap di Kedah selama 5 tahun) iaitu Pak Ngah Idris untuk mempelajari Al-Quran dan pendidikan agama secara lebih mendalam. Ketika itu, pengajian Islam merupakan pelajaran utama untuk orang Melayu Malaya dan ramai anak-anak watan telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Makkatul Mukarramah.
Pada usia 12 tahun, beliau telah berguru pula dengan Tuan Guru Haji Ismail (Tok Chik Dol) di Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah selama 3 tahun. Tidak lama kemudian, beliau telah berguru dengan Tuan Guru Haji Yaakob Kemelong Sik Kedah, seorang ulamak yang masyhur ketika itu.

Selepas itu, beliau telah berhijrah ke Kelantan (bersama kakandanya Ismail) pada usia 18 tahun dan berguru pula dengan seorang lagi ulama terkenal iaitu Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Abdul Halim (Tok Padang Jelapang).Pondok Jelapang juga ketika itu merupakan pusat pengajian yang terkenal. Pada usia 21 tahun, Haji Mahmud masih meneruskan pelajarannya dengan Haji Wan Ahmad tetapi di Pondok Pasir Mas Salor.

Semasa di Pondok Pasir Mas Salor inilah, Haji Mahmud mengenali seorang lagi Ulama Terkemuka iaitu Al-Allamah Syeikh Yusuf Kenali (Tok Kenali)

Akhirnya Haji Mahmud telah berguru dengan Tok Kenali.

Perguruan dengan Tok Kenali
Tok Kenali adalah seorang tokoh ulama yang menguasai banyak bidang ilmu agama. Beliau juga merupakan murid kesayangan Al-Allamah Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zin Mustafa Al-Fathoni.
Tok Kenali rata-rata dikenali di Kelantan ketika itu sebagai seorang ‘keramat’ dan ‘wali’ di samping seorang ilmuwan yang bertanggungjawab di atas penerbitan Majalah Pengasuh, Majlis Agama Islam Kelantan.

Di sinilah Tok Kenali telah mengajar Syeikh Mahmud ‘rahsia shatar’ (titik perbezaan antara hak-hak hamba dengan Allah SWT) dan ‘amalan khalifah pusaka wali agama Islam’ bagi melayakkan manusia menjadi Khalifah dalam ertikata sebenar di muka bumi dan tahu membezakan antara ar-risalah (yang dikurniakan kepada Para Rasul) dan an-nubuwah (yang dikurniakan kepada Para Anbia) serta mengikuti sunnah/contoh/teladan.
Dengan adanya hak-hak kehambaan kepada Allah SWT semata-mata barulah seseorang manusia yang digelar Khalifah itu dapat mentadbir dan memakmurkan seluruh isi alam ciptaan Allah SWT.
Tok Kenali juga telah mengarahkan Syeikh Mahmud untuk mempelajari langkahan hulubalang (Jabat dll)/Silat Khalifah dengan Tuan Guru Haji Muhammad Taib (rakan kepada Datuk Perdana Nik Mahmud) di Kota Bharu. Syeikh Mahmud juga telah menerima amalan aurad dengan ayah kepada Haji Taib iaitu Al-Allamah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pattany (juga dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jabat/Tengku Abdul Rahman Tok Tama) Tok Kenali telah menjelaskan antara lain tujuan mempelajari langkahan hulubalang dan amalan aurad ini ialah untuk mempertahankan agama, keluarga, bangsa dan negara dari sebarang bentuk penjajahan/serangan luar.
Akhirnya Tok Kenali telah mengijazahkan Amalan Khalifah Pusaka Wali Agama Islam kepada Syeikh Mahmud Nasri Osman.
Sebelum kembali ke Kedah pada usia 27 tahun (bersama sahabat-sahabatnya Tuan Guru Haji Othman Yunusi dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Ibrahim) Tok Kenali telah mendoakan Syeikh Mahmud dan berwasiat :
“Di mana ada rimba di situ tempatmu, di mana kamu duduk, hendaklah mendirikan madrasah, kamu jangan tinggal madrasah”.

Pulang Ke Kedah
Syeikh Mahmud Nasri Othmani telah pulang ke kampung halamannya dan tinggal bersama keluarganya. Tidak lama selepas itu, beliau kembali semula ke Pondok Gajah Mati dan tinggal di sana. Beliau telah dikunjungi oleh Tuan Guru Syeikh Othman Jalaluddin (Lebai Salam Penanti) untuk ke Madrasah Manabil Ulum Penanti Bukit Mertajam bagi guru ganti kepada Tuan Guru Syeikh Othman sementara anaknya Haji Muthalib pulang dari Makkatul Mukarramah.

Berkhidmat Di Penanti
Syeikh Mahmud berkhidmat di Madrasah Manabil Ulum Penanti Bukit Mertajam selama setahun sehingga anak Tuan Guru Syeikh Othman iaitu Setelah itu Tuan Guru Haji Muthalib pulang mengambilalih tugasnya sebagaimana pesanan ayahandanya.

Berkhidmat dan berhijrah ke Lenggong
Syeikh Mahmud Nasri kemudiannya dijemput pula oleh saudara sepupunya iaitu Tuan Imam Haji Yusuf Haji Ibrahim, Imam Masjid Lenggong Perak untuk mengajar agama. Imam Haji Yusuf merupakan murid kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik bin Haji Hasan Pondok Sungai Pinang.
Syeikh Mahmud telah berhijrah/bermukim di Lenggong selama 2 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau mengajar tauhid, feqah, tasauf di masjid dan surau-surau yang terdekat. Pada usia 31 tahun, beliau kemudiannya berkahwin dengan anak saudara sepupunya Tuan Imam Haji Yusuf yang bernama Azizah. Isterinya merupakan seorang guru Al-Qur’an dan Fardhu Ain dan merupakan murid kepada bapanya sendiri dan bapa saudaranya iaitu Haji Ahmad (Pak Chu Mat Kelantan – murid kepada Tuan Guru Haji Abdullah Senik, Pondok Padang, Pasir Mas Kelantan) yang juga telah berhijrah dan menetap di Lenggong.

Selain Pak Chu Mat, Imam Haji Yusuf iaitu mertua Syeikh Mahmud juga telah berhijrah ke Lenggong selepas Hulu Perak, Kelantan dan Pahang telah dibuka dengan selamatnya oleh Tuan Guru Syeikh Abdul Rahman Jabat. Sebelum pembukaan, kawasan ini amat digeruni orang kerana ‘permainan raja orang asli’ yang mempunyai amalan memuja binatang-binatang buas bagi mengganggu sesiapa sahaja yang mencerobohi kawasan-kawasan yang ‘dijaga’ oleh mereka.
Kisah pembukaan ini telah meninggalkan kesan sejarah di hulu Perak, Kelantan dan Pahang menerusi lambang Gajah Putih iaitu tunggangan Tengku Abdul Rahman Tok Tama atau Sheikh Abdul Rahman Jabat.
Kembali Ke Kedah
Tiada berapa lama selepas perkahwinan beliau, Syeikh Mahmud merasakan amanat gurunya Tok Kenali belum dapat dilaksanakan. Pada tahun 1932 M, dia telah kembali ke Kedah dengan hasrat untuk membuka pondoknya di kawasan rimba yang baru diterokai di mana penduduknya tidak mempunyai guru yang boeh mengajar mereka tentang ilmu-ilmu agama.
Membuka Madrasah Misbahus Salam.
Pada 12 Rabi’ul awal 1351 H bersamaan 15 Ogos1932 M, Syeikh Mahmud telah berhijrah ke Kampung Lanai, Baling, Kedah Darul Aman; selaras dengan amanat Tok Kenali; Kampung Lanai merupakan suatu kawasan yang asalnya rimba yang belum diterokai dan hanya didiami oleh beberapa keluarga sahaja.

Semasa itu, penduduk Lanai mengerjakan solat Jumaat dengan berjalan-kaki sejauh 15km di Masjid Kampung Padang. Syeikh Mahmud telah berbincang dengan penduduk setempat seterusnya mencapai kata persetujuan untuk membuka Madrasah Misbahul Salam bagi digunakan sebagai tempat solat dan mempelajari agama.

Madrasah ini akhirnya menjadi terkenal dan semakin ramailah orang berhijrah ke Kampung Lanai untuk mempelajari agama dengan Syeikh Mahmud Nasri Osmani, murid kepada Ulama Terkemuka Asia Tenggara iaitu Al-Allamah Syeikh/Maulana Muhammad Yusuf Al-Kenali Al-Kelantani (Tok Kenali) Akhirnya Madrasah Misbahus Salam telah dipindahkan ke Caruk Salang, 3 km dari tapak asal.
Titah DYMM Sultan Badlishah
Selepas hampir tamat zaman pemerintahan Jepun, komunis cuba mengambilalih pentadbiran dengan menangkap Syed Abu Bakar dan Tuan Adam, DO Baling dan Residennya dan dibawa ke Kampung Dalam Wang Bawah Gunung, Baling dengan diikat seluruh badan mereka untuk ditanam dalam satu lubang secara hidup-hidup.
Syeikh Mahmud Nasri Osmani telah diminta oleh Tuan Guru Syeikh Yahya Taha, Kg. Pisang, Kupang (bapa mertua Tuan Guru Haji Umar Zuhdi) atas titah DYMM Sultan Badlishah untuk mengetuai operasi menyelamatkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam yang ditangkap bagi memaksa DYMM Sultan Badlishah menyerah diri kepada komunis.

Syeikh Mahmud Nasri dibantu oleh Tuan Haji Ahmad Bok Bak dan Tuan Haji Daud Bongor. Mereka telah pergi tanpa menggunakan sebarang senjata. Dengan Izin Allah, komunis seramai 600 orang yang diketuai oleh Chin Peng menjadi seperti terpukau dan melihat sahaja malah membenarkan Syeikh Mahmud dan rakan-rakannya membawa keluar Syed Abu Bakar/Tuan Adam sehingga jarak 40 meter. Komunis tiba-tiba menembak pasukan penyelamat selama 30 minit tetapi sekali lagi dengan izin Allah SWT, tidak ada satu pun peluru yang mengena mereka.
Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan rakan-rakannya telah menyerahkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam kepada DYMM Tuanku Sultan Badlishah dan Tuan Guru Haji Yahya Taha di Kampung Caruk Bembam, Kupang. Tempat penyerahan inilah hari ini telah didirikan Sekolah Menengah Syed Abu Bakar, Baling sempena nama Syed Abu Bakar.
Perasmian Madrasah Misbahul Falah
Pembukaan semula Madarasah Misbahul Falah telah disempurnakan pada tahun 1957 setelah terjadinya kesepakatan di antara Tuan Haji Abu Bakar dan menantunya Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih, Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan penduduk tempatan.
Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih adalah anak kelahiran Kelantan yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Beliau merupakan anak murid kepada Tuan Guru Haji Yahya Taha Kampung Pisang yang kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke Makkatul Mukarramah. Semasa di Mekah, Tuan Guru Haji Umar Zuhdi telah berguru kepada beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir (Pak Da’el), Syeikh Mukhtar Abdul Malik Kudri Al-Makki, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Mandili dan Sheikh Muhammad Daud Sulaiman Al-Kelantani Al-Makki.
Sekembalinya beliau dari Makkatul Mukarramah bersama isteri dan anak-anaknya, Tuan Guru Haji Umar berhasrat untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama yang dipelajarinya kepada anak-anak bangsanya. Atas kehendak bapanya, Tuan Guru Hj Umar Zuhdi mengambil keputusan untuk menetap di Banggol Berangan, Lanai, Kupang, Kedah dan bersama-sama membuka semula pondok Madrasah Misbahul Falah.
Atas mengenang jasa Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Othmani dan rakan-rakannya menyelamatkan Syed Abu Bakar dan Tuan Adam, DYMM Sultan Badlishah telah berkenan merancang untuk berangkat merasmikan Misbahul Falah. Namun, hasrat baginda tidak kesampaian kerana telah mangkat pada hari berkenaan Majlis kenduri untuk menyambut baginda telah bertukar menjadi majlis tahlil untuk Almarhum DYMM Baginda dan akhirnya Madrasah Misbahul Falah telah dirasmikan sendiri oleh Tuan Guru Haji Umar Zuhdi Solih.
Madrasah Misbahul Falah terus berkembang mengikut manhaj yang telah disediakan oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi sendiri, mengikut system pengajian Nizhomi dan Umumi.Sistem pengajian nizhomi adalah system pengajian kelas bermula tahun I’dadi hingga ke thanawi dan sistem pengajian umumi adalah pengajian kitab-kitab torah dari kulit ke kulit.Sistem pengajian nizhomi dan umumi mendapat sambutan yang hangat di kalangan masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan agama dan suasana ini berjalan baik sehingga ke hari ini. Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani pula mendirikan sebuah madrasah dengan mengekalkan nama madrasah Misbahus Salam di rumahnya berhampiran dengan madrasah tersebut.Beliau membantu mengajar kitab-kitab torah secara umumi kepada pelajar-pelajar Madrasah Misbahul Falah yang gemar menuntut ilmu dengannya.
Gerak Seni Silat Abjad.
Gerak Seni Silat Abjad telah diasaskan oleh Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani adalah sebagai menggantikan nama ilmu dan amalan yang asal diterima daripada gurunya Sheikh Yusuf Kenali dan menerima latihan daripada gurunya Sheikh Muhammad Taib bin Tuan Guru Sheikh Abdul Rahman Jabat. Nama asal ialah Amalan Khalifah Pusaka Wali.
Syeikh Mahmud Nasri memperkenalkan Gerak Seni Silat Abjad ini ialah kerana pada masa itu beliau melihat kedudukan umat Melayu Islam terumbang-ambing selepas peristiwa 13 Mei, 1969. Ketika itu lahirlah berbagai-bagai unsur-unsur syirik, khurafat dan bidaah berlaku berleluasa dalam masyarakat melayu. Lalu beliau berhasrat untuk membersihkan amalan-amalan karut yang tiada dalam ajaran agama.

Amanat Al-Allamah Syeikh Mahmud Nasri Osmani :
Banyak barang tiruan dalam pasaran,
Barang asli dalam rumah ahli,
Dapat beza dalam majlis tandingan,
Datang benar hancur binasa yang bathil,
Benar tetap benar, bathil tetap bathil,
Datanglah kepada kami jika mahu barang yang asli,
Tiada menjadi korban pengorbanan,
Tiada dimahkotakan pahlawan,
Nafsu tujuh rupa tujuh terbit,
Taulannya di luar atas rupanya baik atau jahat,
Tiap-tiap bergerak ditanya guru asal,
Dosa pahala dikira melaluinya,
Tiada guru syaitan mengaku jadi guru,
Ahli sufi palsu berbagai ragam ratib jampian,
Lumrah insan kalah memakai menang membeli.
----------------------------------






ěž







IJAZAH SILAT ABJAD =SYEIKH MAHMUD NASRI OSMANI KPD US MAT SELAMA KPD AKU















































































































AKU MENERIMA AMALAN SUFI DARI SYED DAUD BAGAN TERIMA DARI TOK PADANG JELAPANG





















Tok Jelapang
TUAN GURU SYEKH HJ WAN AHMAD BIN HJ WAN ABDUL HALIM
(Tok Padang Jelapang / Tok Goloq) 1861-1934
Dilahirkan di kampung Palekbang, Daerah Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan pada tahun 1861. Ibunya bernama Wan Pandak.

Pendidikan
Mendapat pendidikan secara serius dan mendalami ilmu agama setelah berkahwin dan berkeluarga. Beliau telah kembara ilmu ke Patani selama 5 tahun bagi menuntut ilmu dan berguru di kampung Cha-ok bersama Tuan Guru Hj Abdullah dan di Pondok Hj. Ahmad.
Seterusnya beliau ke Mekah dan belajar selama 9 tahun disana. Antara gurunya disana ialah:
- Syekh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani,
- Syekh Tok Wan Ali Kutan,
- Syekh Wan Daud al-Fathani,
- Syekh Tuan Hj Mokhtar Bogor,
- Syekh Tok Syafei Kedah.
Dikatakan guru bimbingan utama beliau ialah Syeikh Tok Wan Ali Kutan dimana dikatakan melaluinya beliau mengambil baiah Tariqat as-Syaziliah.
Semasa di Mekah beliau bersahabat Karib dengan Tok Selehor, Tok Kenali dan Dato’ Mufti Hj Ibrahim bin Hj Muhammad Yusuf (Mufti ke-6 Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1928-1940).
Sekembali dari Mekah al-Mukarramah, beliau membuka pondok pengajian di kampungnya Palekbang. Setelah mengasas dan mengajar selama 2 tahun, kawasan pondoknya telah termasuk didalam projek kerajaan bagi membina landasan keretapi dari Tumpat ke selatan Kelantan. Setelah itu beliau dipelawa muridnya Hj Mat Saman untuk membuka pondok di Padang Jelapang, Lemal, Pasir Mas. Bersama keluarganya beliau menyusuri Sungai Kelantan dengan menaiki perahu melalui Kuala Lemal telah berpindah dan membuka pondok di kawasan tersebut sekitar tahun 1336H / penghujung 1917.
Di Padang Jelapang bermulanya era kecemerlangan dan kemashurannya sehingga digelarkan dengan Tok Padang Jelapang. Setelah 5 tahun di situ beliau berpindah dan membuka pula pondok di pekan Pasir Mas (iaitu di lorong Hj Ahmad Jalan JKR / Kubang Terap dan Jalan Pondok Lama berhampiran klinik Pasir Mas sekarang). Setelah 3 tahun di pekan Pasir Mas yang merupakan zaman kemuncak perkembangan pengajian pondok di jajahan Pasir Mas, sehinggakan hampir keseluruhan tuan-tuan guru sekitar Pasir Mas pernah berguru dengannya.
Tahun 1351/1932M beliau berhijrah pula ke pekan Sungai Golok, Selatan Thai (sempadan Rantau Panjang) bagi membuka pondok di sana.[2] Beliau membuka kawasan tanah hutan bersama rakan dan murid-muridnya bagi mendirikan pondok dan masjid. [3] Sehinggakan beliau digelar ulama pembangunan dan di digelar Tok Golok.

Kemahiran/kebolehan
Seorang yang alim dalam bidang Usuluddin, Fiqh, Tasawuf, Nahu dan mengajar kitab Qatr al-Nada, Ibn Aqil, Matla’ al-Badrain, Fathu al-Muin, Hashiah ad-Dusuqi, Jauhar al-Mauhub, al-Hikam dan Minhaj al-Abidin.
Beliau juga berkemahiran dalam bertukang rumah, membuat tepak sireh, tembaga dan bercucuk tanam (semasa di Sungai Golok menanam kopi, ciku dan limau di kebun seluas 10 ekar dan membuka tanah).

Keluarga Dan Keturunannya
Mempunyai 3 orang isteri iaitu yang pertama Wan Zainab berasal dari Palekbang yang kedua Che Som binti Hj Awang berasal dari Chetok dan yang ketiga Che Yah binti Che Ali berasal dari Kampung Kedap, Pasir Mas.
Antara anak-anaknya ialah Wan Mat menetap di Narathiwat, Wan Sulaiman menetap di Sungai Golok, Wan Ismail menetap di Mekah, Wan Ishak dan Wan Som (isteri kepada Tok Guru Mat Melaka Hj Muhammad bin Husain).
Cucunya ialah Wan Bidah, Wan Mah, Wan Abdul Aziz, Wan Mat tauke batik dan Dr Wan Chik menetap di Sungai Golok, Hj Ismail menetap di Kelantan. Antara keturunan beliau seterusnya antaranya ialah penulis sendiri[4]. Sesungguhnya keturunannya bertebaran di Sungai Golok dan Selatan Thai, Kelantan dan Malaysia dan di Mekah al-Mukarramah dan Arab Saudi.

Muridnya
Beliau mempunyai ramai anak murid dan dikatakan hampir keseluruhan alim ulama’ sekitar Pasir Mas disekitar pertengahan tahun 1900an pernah berguru dengannya. Muridnya yang merupakan tokoh dan dikenali ramai antaranya ialah :
1. Tuan Guru Hj Abdul Rahman (Lubok Tapah)
2. Hj Abdullah Lai
3. Tuan Guru Hj Abdul Ghani bin Awang Kechik (Kubang Bemban)
4. Hj Che Hasan bin Hj Ismail (Lemal)
5. Hj Abdullah bin Musa (Kampung Laut)
6. Tuan Guru Hj Abdullah bin Mat Saman (Lati)
7. Hj Abdul Latif (Banggol Kulim)
8. Tuan Guru Hj Hasan bin Ismail (Buloh Poh,Ketereh)
9. Hj Wan Mat dan Hj Wan Sulaiman (merupakan anaknya)
10. Tuan Guru Hj Ahmad bin Hj Ismail
11. Encik Marib (Pembuka Sungai Golok)
12. Che Wan (mandur membangun Bandar Sungai Golok)
13. Lebai Deraman
14. Hj Abdullah Pondok Padang
15. Pak Chu Hj Abdullah Tal Tujuh
16. Hj Che Yahya Chenok Timur

Meninggal Dunia
Iaitu pada tahun 1934 ketika berusia 73 tahun[5] di Sungai Golok dan dikebumikan di kubur besar di Bandar tersebut. (dikatakan bilangan kubur yang ke-21 pada masa tersebut). Menurut kisah selepas beliau meninggal dunia berlaku kemushkilan samaada beliau telah meninggal atau belum lagi berikutan keadaan mayatnya tetap panas seperti masih hidup. Sehinggakan dijemput sahabat beliau Dato’ Mufti Hj Ibrahim[6] bagi memastikan bahawa beliau sememangnya telah meninggal dunia.

Kesimpulan
Jasa beliau begitu besar kepada agama dan masyarakat setempat dan menjadi tempat rujukan permasalahan agama dan kehidupan harian duniawi. Beliau juga dikenali ulama pembangunan. Khidmat beliau terutamanya dalam pembangunan institusi pendidikan pondok, dakwah dan ilmu agama yang berpaksikan kepada manhaj Sunni Ahli Sunnah Waljamaah, Fiqh mazhab Imam Syafei dan Tariqah Tasawuf as-Syathariyyah dan as-Syaziliah. Keturunannya bertebaran di Sungai Golok, Selatan Thai, Kelantan dan Malaysia dan juga di Mekah al-Mukarramah. Semoga beliau yang dikatakan tergolong daripada para solihin dapat memberkati kepada penulis. al-Fatihah.



Aku Terima Amalan Dari kitab Lumatul Aurad dari Hj Mat Fatani bersumber dari Tok Wan Ali Kutan





Syeikh Wan Ali Kutan - Guru para ulama Melayu
RIWAYAT ini masih dalam rangkaian ulama yang mempunyai hubungan dengan pengajian pondok di Sungai Dua, Seberang Perai, Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani yang dipercayai adalah saudara sepupu ulama yang dibicarakan ini. Nasab ke atas sampai kepada nama Wan Abdul Ghafur yang dianggap sahih kerana tercantum dalam salah sebuah karangan Syeikh Wan Ali al-Kalantani. Penyelidikan penulis yang terkini mendapati bahawa ada orang meriwayatkan ayah Wan Abdul Ghafur itu bernama Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Izzuddin. Syeikh Izzuddin ini mempunyai dua nama, yang satu lagi ialah Syeikh Wan Taqiyuddin. Tentang ini masih belum dipandang sahih.






Keluarga Besar

Sebagaimana Syeikh Jalaluddin al-Kalantani mempunyai hubungan keturunan yang luas, demikian pula halnya Syeikh Wan Ali al-Kalantani, kerana Syeikh Wan Ali al-Kalantani mempunyai beberapa orang adik beradik. Mereka ialah: 1. Haji Wan Seman, 2. Wan Bulat, 3. Wan Hawa, 4. Wan Kaltsum, 5. Wan Siti Hajar, dan yang bungsu ialah Syeikh Wan Ali. Haji Wan Seman bin Wan Abdur Rahman mendapat tiga orang anak, iaitu Nik Sah, Wan Timun dan Nik Wan Zainab. Melalui anaknya Wan Timun, anak perempuan Wan Timun bernama Wan Embong, anak perempuan Wan Embong bernama Nik Wan Zainab kahwin dengan Tengku Hamzah Tengku Setia Maharaja, anaknya bernama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Wan Hawa binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan Wan Muhammad bin Wan Musa, memperoleh 4 orang anak. Salah seorang di antaranya Wan Salamah yang berkahwin dengan Wan Ya'qub bin Wan Sulaiman, memperoleh anak bernama Wan Kaltsum yang kahwin dengan Wan Ahmad Hakim bin Ibrahim (Hakim di Besut, Terengganu), keturunannya di Terengganu. Di antara anaknya ialah Wan Muhammad Ali, ayah kepada Haji Wan Abdur Rahim Kamil, salah seorang tokoh perbankan Islam.

Wan Kaltsum binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan ulama bernama Haji Abdus Shamad Kutan, yang kemudian dikenali dengan gelar Tuan Tabal. Beliau adalah guru kepada Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaitu Dato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Mengenai Tuan Tabal yang bererti saudara ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan diperoleh maklumat daripada keluarga ini di Terengganu, secara terperinci akan diceritakan pada siri-siri berikut dalam judul yang tersendiri.

Wan Siti Hajar binti Wan Abdur Rahman mempunyai anak iaitu Haji Muhammad Sa'id. Beliau berhijrah ke Langkat, belajar dan berkhidmat kepada Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah yang terkenal, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam perintis tarikat Nakshabandi di Langkat. Akhirnya Haji Muhammad Sa'id menjadi murid kesayangan dan orang kanan ulama yang terkenal itu. Haji Muhammad Sa'id memperoleh enam orang anak, di antaranya ialah Khalifah Haji Abdul Hamid. Anak beliau ialah Haji Muhammad Saleh Hamid, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kabupaten Langkat dan Drs. Haji Usman Hamid, bekas dosen/pensyarah FPOK, IKIP, Medan, Sumatera Utara.

Kelahiran

Sheikh Wan Ali bin Wan Abdur Rahman merupakan saudara bongsu enam beradik yang diriwayatkan ini, oleh itu dalam surat menyurat Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama Kelantan tersebut dengan panggilan 'Pak Cu Wan Ali'. Syeikh Wan Ali adalah ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani.

Syeikh Wan Ali lahir dekat Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi, tarikh inilah yang diikuti oleh kebanyakan penulis. Penulis sendiri tetap mempertikaikan tahun yang disebutkan itu, jika ditulis tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi, barangkali lebih mendekati kebenaran. Hujah-hujah penulis adalah bahawa di kalangan keluarga telah popular cerita tentang Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani adalah sebaya umurnya dengan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.

Selain itu, antara beliau terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (adik Syeikh Muhammad Zain al-Fathani). Adapun hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah berbirasan, kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani dan isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi dan ibunya lahir pada tahun 1241 Hijrah/1825 Masihi. Sedangkan dalam riwayat bahawa Wan Cik al-Fathani itu walaupun menjadi kakak ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan, namun Syeikh Wan Ali Kutan lebih tua daripada Wan Cik. Wan Aisyah adik Wan Cik pula dilahirkan pada tahun 1243 Hijrah/1827 Masihi, sedangakn Wan Ali Kutan adalah lebih tua daripada isterinya itu.

Dengan fakta-fakta tersebut di atas, penentuan tarikh lahir Syeikh Wan Ali Kutan adalah pada tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi (yang bererti lebih muda sekitar sepuluh tahun daripada isterinya) itu adalah suatu kekeliruan. Diharapkan kepada para pengkaji sejarah dapat meneliti kembali tahun-tahun yang tersebut itu, mudah-mudahan sejarah yang tepat dapat menjadi pegangan yang tidak menjadi keraguan lagi.

Pendidikan

Pendidikan ketika di Kelantan tidak jelas, yang dapat dikaji dimulai dari umur 12 tahun, kerana ketika usia itulah beliau dibawa ke Mekah untuk belajar di sana. Pendidikan di Mekah itu merupakan penentuan bahawa Syeikh Wan Ali al-Kalantani dapat dikategorikan sebagai ulama besar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan keIslaman. Di antara gurunya di Mekah dapat dicatat ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi. Kedua-dua ulama ini sangat terkenal.

Selain itu, Syeikh Wan Ali al-Kalantani belajar pula kepada Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan, Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong seorang ulama sufi yang sangat berwibawa Kelantan dan lain-lain. Di Madinah Syeikh Wan Ali belajar kepada Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, terutama sekali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli.

Dalam karangannya Lum'atul Aurad, Syeikh Wan Ali al-Kalantani menyebut bahawa beliau menerima ijazah Hizbul Bahri daripada Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan juga daripada Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan. Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili r.h. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w.

Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga belajar berbagai-bagai ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk beliau menerima Thariqat Syathariyah kepada ulama Patani itu. Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga termasuk pengamal Thariqat Ahmadiyah yang dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris. Dipercayai Syeikh Wan Ali al-Kalantani telah menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah itu daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman, Kutan al-Kalantani meninggalkan beberapa karangan, yang senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:

1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadits. Matan Lubabil Hadits adalah karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertamanya ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap.

2. Zahratul Murid fi 'Aqaidit Tauhid, 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertama, juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 Hijrah terdapat keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.

3. Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini. Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin.

4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid, 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.

5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab, masih dalam bentuk manuskrip.

6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu, masih dalam bentuk manuskrip.

7. Catatan-catatan, masih dalam ben-tuk manuskrip.





























[6] bagi m

1 comment:

  1. Salam Wbkth..Ana dr ipoh ahli talqin thn. 99.."Ahsanta..,"sbb duk dlm usaha mengenal biografi TG dan mgkin akan anta teruskan lg..Bukan sng nak ada klapangan mcm nie..hrp ganjaran dr Rabbul Jalil atas sbb yg Diberi utk memaparkan Keperibadian2 Khalifah Wali Nya yg jua d bwh Jamal dan Jalal Nya..Allah

    ReplyDelete