Thursday, 17 January 2013

Aku Mengambil Ijazah Zikir Kalimah Tauhid Dari Baba Hj Abd Hamid



SEJARAH PENUBUHAN
Pondok Seri Permai Seligi ini telah diasaskan pada tahun 1989M oleh Tuan Guru Abdul Hamid B. Hj. Daud

LOKASI
Terletak kira-kira 45 Km dari Pusat Bandar Kota Bharu.
Kawasannya yang dikelilingi kawasan bukit, menjadikannya tempat yang sangat sesuai untuk menuntut ilmu.

MATLAMAT
Menjadikan pondok sebagai pusat pengajian Islam secara teori dan praktikal
Mencari keredhaan Allah serta menghapuskan kerosakan akhlak
Melahirkan generasi berilmu , beramal, berani dan bertakwa.
Melahirkan pelajar mahir serta memahami secara mendalam ilmu agama dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

PENGERUSI PENTADBIR
Nama : Tuan Guru Abdul Hamid B. Hj. Daud
Tempat lahir : Pattani
Tahun lahir : 1937M
Pendidikan :

Pondok Dala - 10 Tahun - Haji Abdul Rahman B. Muhd. Irsyad

Pondok Perigi - 5 Tahun - Haji Wan Ismail B. Haji Ibrahim

Pondok Piak - 5 Tahun - Haji Husin Bin Haji Awang

KEMUDAHAN ASAS PONDOK
1. Masjid
2. Air
3. Letrik

SISTEM PEMBELAJARAN
Pengajian Umumi (pelajar diberi kebebasan memilih mata pelajaran yang hendak diikuti)

MATAPELAJARAN YANG DIAJAR
Kitab-kitab Pondok

PELAJAR PONDOK
50 Orang

PENDUDUK PONDOK
50 Orang

ALAMAT SURAT MENYURAT
MADRASAH DAKWAH ISLAMIAH
Pondok Seri Permai Seligi,
Kg. Permatang Sungkai,
16800 Pasir Puteh, Kelantan.
Tel : 012 - 9528801

SYEIKH YUSUF MUHYIDDIN AL BAKHUR AL HASANI (RA).


Ustaz Ali Pahang Menerima Tarikat Alawiyah Dari Syeh Yusuf  Dan Aku Menerimanya dari Ustaz Ali

Sheikh As-Syarif Dr. Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani. Beliau berketurunan Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husein r.a., kedua-dua cucu kesayangan Rasulullah s.a.w.
KELAHIRAN DAN KEHIDUPAN BELIAU:

Beliau dilahirkan di Aka, Lubnan. Kini, beliau tinggal di Lubnan dan Kanada.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN BELIAU

Pada awalnya, beliau menuntut di Lubnan. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya di Institut Fiqh (Islamic Study) pada tahun 1974 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda. Beliau juga turut mengambil pengajian Sarjana Muda di Al-Azhar dan tamat pada tahun yang sama, dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun.

Beliau melanjutkan Ijazah Sarjana di Al-Azhar dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun dan tamat pada tahun 1989. Seterusnya, beliau dianugerahkan ijazah Kedoktoran (Ph.D) Kerhormat daripada Universiti Islam Lubnan pada tahun 1991.

ANTARA GURU-GURU BELIAU:

Beliau mengambil tarbiah sufiyah secara khusus dari As-Sheikh Al-Mursyid Sidi Abdul Qadir Isa r.a. yang merupakan mursyid bagi Tarikat As-Syazuliyah Ad-Darqowiyah.

Setelah dilihat kelayakan Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani, dalam memikul tugas sebagai mursyid, maka Sidi Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. memberi izin wirid 'am dan khas tarikat As-Syazuliyah dan izin irsyad dan tarbiah kepada beliau. Sheikh Yusuf merupakan khalifah Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. yang termuda dari kalangan keempat-empat khalifah beliau.

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani pernah dibawa oleh Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. untuk bertemu dengan guru beliau sendiri iaitu Sheikh Muhammad Al-Hasyimi. Sheikh Muhammad Al-Hasyimi turut memberi izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani r.a..

Sheikhuna Yusuf Al-Hasani bersahabat dengan Sheikh Abdul Qadir Isa sehinggalah ke hujung hayat Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Setelah kewafatan Sheikh Abdul Qadir Isa r.a., Sheikhuna Yusuf juga turut mencari mursyid lain sebagai tabarruk dan merasakan diri masih lagi memerlukan tarbiah dari seorang mursyid, walaupun pada ketika itu, beliau sudahpun mendapat izin sebagai seorang mursyid.

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tabarruk dari Sheikh Sa'duddin Murod, yang merupakan khalifah utama Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Sheikh Sa'duddin Murod turut memberikan kepada Shiekh Yusuf Al-Hasani izin tarbiah khalwah dan izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah.

Bukan sekadar itu sahaja, malah Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani turut menemui Sheikh Al-Habib Abdul Qadir As-Saggaf untuk mengambil bai'ah tarikat daripada beliau seterusnya menjadi murid beliau. Sheikh Abdul Qadir As-Saggaf lantas memberi kepada Sheikhuna Yusuf Al-Hasani, izin irsyad tarikat As-Syazuliyah, kerana melihat keahlian yang dimiliki oleh Sheikhuna Yusuf.

Di samping itu juga, Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tarikat daripada beberapa mursyid tarikat berlainan lantaran itu, turut menerima izin irsyad dari mursyid-mursyid tarikat tersebut. Antara mursyid-mursyd tersebut adalah:

Sheikh Soleh Farfur (tarikat As-Syazuliyah juga)
Sheikh Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi Al-Maliki (tarikat Alawiyah)
Sheikh Uthman Sirajuddin An-Naqsyabandi (tarikat An-Naqsyabandiyah)
Sheikh Muhammad Na'im Al-Jailani Al-Asyarafi (tarikat Al-Qadiriyah)
Sheikh Muhammad Zaki Ad-Din Ibrahim (tarikat Asyirah Muhammadyah)

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani juga meriwayatkan hadis-hadis musalsal dan sanad-sanad hadis dan ilmu agama secara umum dari Sheikh Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki r.a. dan Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim.

AKTIVITI-AKTIVITI BELIAU:

- Pengarah Yayasan Islam Kanada, di Hamilton, Kanada pada tahun 1981 sehingga hari ini.

- Pensyarah di Universiti Islam Lubnan

- Ahli Jawatan Kuasa Majlis Fatwa Lubnan

- Anggota Majlis Ulama' di Syria

- Seorang pendakwah peringkat antarabangsa (Syam, Kanada, Mesir, Jepun dan Asia Tenggara)

- Mursyid atau Sheikh Tarikat Al-Asyirah Al-Muhammadiyah di Hamiton, Kanada

- Murobbi Tasauf khususnya dalam Tarikat Syazuliyah, Qadiriyah, Naqsyabandiyah, Darqowiyah, Alawiyah dan sebagainya.

- Pengasas Dar El-Hasani Center, iaitu tempat perhimpunan anak-anak murid beliau di Mesir.

-Penasihat Kehormat Institut Pngajian Ar-Razi, Pulau Pinang, Malaysia

Antara mutiara kata beliau:


قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :
"مَن استَسلم في البداية, أكرمه الله في النهاية"

Sesiapa yang menyerahkan urusannya kepada Allah s.w.t. (tawakkal) pada permulaan suluknya, maka Allah s.w.t. akan memuliakannya di penghujung suluknya.

قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :

"من كانت بدايته مخرقة, كانت نهايته مشرقة"
Sesiapa yang mana permulaannya membakar-bakar atau menyala-nyala, maka penghujungnya akan terang benderang.

قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :

"البدايات تدل على النهايات"

Permulaan menunjukkan penghujungnya.

قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :
"الصدق مع الله أقرب الطريق الى الله"

Kejujuran kepada Allah s.w.t. merupakan jalan yang paling hampir untuk menuju Allah s.w.t..

قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :

"الغفلة باب كل خطيئة والنفس باب كل ذلة"

Kelalaian itu pintu bagi segala kesalahan dan nafsu itu pintu bagi segala kehinaan.

قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :

"المريد ليس من انتسب الى شيخه ولكن المريد من انتسب شيخه اليه"

Seseorang murid yang hakiki itu bukanlah yang menisbahkan kepada gurunya, tetapi murid yang hakiki itu ialah, orang yang dinisbahkan akan gurunya kepadanya.

قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :

"لأن أموت صادقا خير من أن أعيش كاذبا"

ٍSesungguhnya, kalau saya mati dalam keadaan jujur (kerana mempertahankan kebenaran) itu lebih baik daripada saya hidup dalam keadaan penuh tipu daya.

قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :
"لا تتعلق بالعبادة لأن التعلق لا يكون إلا بالله"

Janganlah bergantung kepada ibadah, kerana ketergantungan tidak boleh kecuali hanya kepada Allah s.w.t..

قال شيخنا سيدي يوسف الحسني - حفظه الله - :

"كم من منة أورثتك الندامة وكم من بكاء أورثتك السرور"

Berapa banyak kenikmatan yang membawa kepada penyesalan dan berapa banyak pula tangisan yang membawa kepada kegembiraan di penghujungnya


Wayang Kulit Kelantan


Begini ceritanya.Suatu masa dahulu, ada sebuah negeri di alam kayangan namanya Pasir Mayang Mercapada, yang dihuni oleh dewa-dewa. Alam kayangan ini dipercayai oleh setiap tok dalang wayang kulit wujud sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw dan ianya runtuh sebaik saja Nabi Muhammad saw dilahirkan.

Di negeri para dewa itu ada dua orang adik beradik anak dewa yang bernama Seri Rama dan Sita Dewi.Oleh kerana kedua-duanya sungguh kacak dan jelita, maka berkatalah Seri Rama kepada adiknya Sita Dewi bahawa dia bersumpah tidak akan berkahwin kecuali bertemu dengan gadis yang secantik rupa paras adiknya itu, begitu juga Sita Dewi bersumpah demikian.Tanpa disedari, percakapan mereka itu di dengar oleh Dewa Se Alam Tunggal iaitu Ketua segala dewa-dewa di negeri kayangan.Dewa Se Alam Tunggal atau Bentara Guru Agung inilah yang nantinya akan turun ke alam dunia menyamar menjadi orang biasa yang penuh keramat dan kesaktian bernama Pak Dogol.

Untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini terjadi di alam kayangan setelah mendengar sumpah dua beradik itu , maka Dewa Se Alam Tunggal pun terus menyumpah Seri Rama dan Sita Dewi menjadi sebutir buah pinang muda, lalu dibelahkan dua dan dilontarkan turun ke alam dunia.Kata arwah datuk, inilah asal usul perumpamaan seperti “pinang dibelah dua” - sama cantik dan sama padan itu.

Dipendekkan cerita sebelah buah pinang tersebut jatuh ke dalam taman permainan Permaisuri Ratna Sari di Tanah Jawa iaitu isteri kepada seorang Raja yang hebat dan sebelah buah pinang lagi jatuh dalam taman permainan Permaisuri Mamlu Daki di tanah Hindustan.Suami Permaisuri Mamlu Daki tersebut adalah bukan manusia biasa, tetapi dari kalangan Jin iaitu Bota Maharajawana.

Setelah terjumpa oleh kedua – dua permaisuri tersebut akan pinang sebelah itu, maka mereka pun rasa terliur untuk makan buah pinang tersebut.Maka setelah mereka berdua makan buah pinang tersebut, maka masing-masing pun mengandung.

Al-kisah ada seorang tua yang bijak dan mempunyai ilmu perang yang hebat sehingga mempunyai anak murid yang ramai dari seluruh dunia iaitu berjumlah kurang satu selaksa(mungkin lebih banyak dari sejuta kot?) , bertempat di Candi atau Ketit siam yang banyak patung diperbuat dari emas iaitu berjumlah kurang satu dari 40 patung (39 patung).Nama beliau ialah Tok Mah Siko Batu Api.Beliau mempunyai dua orang pengawal peribadi atau pengasuh bernama Epol dan Endeng.

Setelah tersohor seantero dunia betapa hebatnya ilmu Tok Mah Siko Batu Api ini, maka Bota Maharajawana pun teringin juga untuk pergi kesana menuntut ilmu.Sebelum dia berangkat pergi, dia tinggalkan pesan kepada isterinya, jika anak yang dilahirkan nanti adalah anak lelaki,maka peliharalah ia baik-baik dan jika anak tersebut anak perempuan, maka bunuhlah ia.Setelah beberapa bulan kemudian, maka Tuan Puteri Mamlu Daki pun melahirkan seorang anak perempuan yang sangat comel, maka beliau sangat sedih kerana terpaksa menurut pesan suaminya sebelum peninggalan nya dulu iaitu agar membunuh anak perempuannya itu.Setelah puas berfikir, maka Tuan Puteri Mamlu Daki pun tidak jadi membunuh anaknya yang sangat comel itu, tetapi pakaian anaknya itu dilumurkan dengan darah binatang, lalu disimpan sebagai bukti bahawa dia telah membunuh anaknya itu.Anaknya tersebut dimasukkan kedalam sebuah kotak dan dihanyutkan kedalam sebuah sungai.

Berbeza pula dengan Tuan Puteri Ratna Sari, dia sangat gembira setelah melahirkan seorang anak lelaki yang sangat comel lalu dinamakan dengan nama Seri Rama.setelah dia meningkat dewasa, maka ayahandanya juga mahu menghantar Seri Rama ke tempat perguruan Tok Mah Siko Batu Api di Ketit Siam.

Berbalik kepada cerita anak perempuan yang dihanyutkan tadi akhirnya sampai ke tempat Tok Mah Siko .Dia ditemui oleh dua orang pengasuh Tok Mah Siko iaitu Epol dan Endeng.Mereka membawa pulang ketempat perguruan Tok Mah Siko lalu dinamakan dengan nama Sita Dewi, dipelihara dan dijadikan anak angkat oleh Tok mah Siko didalam candi secara rahsia oleh dua orang pengasuh Tok Mah Siko tanpa diketahui oleh sesiapa pun kecuali mereka bertiga sahaja.

Setelah Sita Dewi meningkat dewasa, maka terbocorlah rahsia bahawa sang guru iaitu Tok mah Siko rupa-rupanya mempunyai seorang anak gadis yang cantik jelita.Maka ia menjadi buah mulut dan topik perbualan yang hangat dikalangan anak murid Tok Mah Siko dan Seri Rama serta Bota Maharajawana juga tidak terlepas dari menaruh hati kepada Sita Dewi.

Ternyata Sita Dewi juga menaruh hati kepada Seri Rama, namun hasratnya itu tidak boleh dipenuhi oleh ayahnya kerana takutkan anak-anak muridnya yang lain dengki dan tidak berpuas hati dengan Seri Rama.

Setelah puas berfikir, maka Tok Mah Siko pun meletakkan syarat kepada semua muridnya , iaitu barang siapa yang boleh meneka yang mana satukah Sita Dewi diantara 39 patung emas tersebut, dialah yang bakal memiliki Sita Dewi.

Semua murid telah cuba meneka, termasuk Bota Maharajawana tetapi tekaan mereka meleset, yang disangka Sita Dewi itu adalah sebuah patung.Maka tibalah giliran Seri Rama pula.Dalam masa mencari akal bagaimana untuk meneka yang mana satukah Sita Dewi itulah muncul seorang anak dewa bergelar Laksamana menyatakan bahawa Seri Rama adalah berasal dari anak dewa dan dia tidak perlu bersedih kerana Sita Dewi pasti akan menjadi miliknya.Pada mulanya Seri Rama tidak percaya, maka Laksamana pun menyuruh Seri Rama membuka mulutnya dan melihat ada 7 tanda bintang kebesaran dewa didalam mulutnya.

Setelah sampai gilirannya, maka Seri Rama pun meminta sebatang lidi yang panjang lalu sambil dia berjalan diacukan ke arah mata patung-patung tersebut, maka ada satu patung yang berkelip matanya.Lalu dia meneka dengan tepat sekali bahawa itulah Sita Dewi.Semua anak murid Tok Mah Siko masih tidak berpuas hati lalu meminta syarat yang kedua.

Syarat yang kedua oleh Tok Mah Siko ialah barang siapa yang mampu memanah 7 batang Pokok Tar di situ, dia akan dapat memiliki Sita Dewi.Maka berlumba-lumba anak muridnya yang menaruh hati terhadap Sita Dewi mencuba nasib, tetapi semua panahan mereka tidak menembusi ketujuh tujuh Pokok Tar itu.Mereka semua hairan mengapa pokok yang nampak tersusun lurus itu boleh terlepas dari mata panah mereka.Seri Rama pun kembali bersedih hati takut takut panahannya juga akan tersasar.Ketika itu, Laksamana pun kembali menjelma dan memberitahu Seri Rama rahsia sebenarnya pokok Tar itu ditanam diatas belakang seekor naga, setiap kali busur panah ditarik dan dilepaskan maka naga tersebut akan menggeliatkan badannya sedikit, oleh itu sudah pasti ada anak panah yang akan tersasar.Hanya ada satu cara kata Laksamana, ketika tiba giliran Seri Rama memanah Pokok Tar itu dari arah kepala naga, Laksamana pula akan memijak ekor naga dan memastikan naga itu diam.Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Laksamana ini, ketika giliran Seri Rama memanah, maka tembuslah ketujuh tujuh pokok Tar tersebut membuatkan semua murid Tok Mah Siko yang lain termasuk ayah Sita Dewi yang sebenar iaitu Bota Maharajawana juga tercengang dan hanya mampu menelan air liur saja dari memiliki Sita Dewi.Mitos tentang naga dan pokok Tar ini masih ada dalam cerita-cerita lama orang Kelantan sehinggakan ada sebuah kampung di Pasir Mas Kelantan yang bergelar Kampung Tar Tujuh.

Walaubagaimanapun, murid murid Tok Mah Siko masih tidak berpuas hati dan memohon syarat yang terakhir dari Tok Mah Siko.Untuk memberikan keadilan dan mengelakkan rasa tidak puas hati dikalangan murid-muridnya, maka beliau pun meletakkan syarat yang ketiga iaitu barang siapa yang dapat mengutip kembali segantang biji lenga yang akan dicampakkan ke laut tanpa berkurang sebiji pun , maka dialah yang layak memperisterikan Sita Dewi.

Selepas mencampakkan segantang biji lenga kedalam laut, maka berlumba lumba lah pula anak murid Tok Mah Siko menyelam ke dalam laut, namun mereka hampa kerana sebiji lenga pun mereka tidak mampu mencarinya.Seperti biasa, Seri Rama kembali bersedih dan berdukacita kerana syarat kali ini memang berat.Ketika itu menjelmalah kembali Laksamana menyuruh Seri Rama terjun kedalam laut dan terus berjumpa dengan raja dewa ikan meminta tolong segala ikan ikan di lautan mencari biji lenga untuknya.Maka Seri Rama pun terjun dan menyelamlah di laut itu.Setelah bertemu dengan raja dewa ikan, maka dia pun menceritakan segala hajatnya, bila diminta bukti benarkah Seri rama juga adalah anak dewa-dewa kayangan, maka Seri Rama pun membuka mulutnya dan menunjukkan tanda 7 butir bintang didalam mulutnya.Setelah berpuashati, maka Raja Dewa ikan pun menyuruh seluruh ikan mencari biji lenga dan diberikan kepada Seri Rama.Tidak sampai sehari semua biji biji lenga yang beratnya segantang itu Berjaya dikumpulkan oleh Seri Rama dengan pertolongan ikan-ikan di lautan itu.Oleh itu semua anak murid Tok Mah Siko pun berpuas hati , lalu Seri Rama pun dikahwinkan dengan Sita Dewi dalam upacara yang sangat meriah.Bota Maharajawana, dalam diam menyimpan dendam kesumat kepada Seri rama.

Setelah pengajian Seri Rama dengan Tok Mah Siko Batu Api tamat, maka beliau pun memohon kepada gurunya untuk kembali ke tanah jawa dengan membawa isterinya Sita Dewi, lalu diizinkan oleh gurunya.Seri Rama membawa isterinya dan ditemani oleh Laksamana pun berangkatlah pulang ke tanah jawa.Tanpa mereka sedari Bota Maharajawana masih mengekori mereka untuk menculik Sita Dewi.

Penat berjalan, Seri Rama pun terasa dahaga, lalu disuruhnya Laksamana pergi mencari air untuk diminum.Dengan tidak berlengah lagi Bota Maharajawana pun membuat 2 buah telaga, satu berair keruh dan satu lagi berair jernih.Telaga berair jernih telah disihir oleh Bota Maharajawana.Oleh kerana Laksamana tahu air yang jernih telah disihir, maka dia pun mengambil air yang keruh untuk abang dan kakaknya.Seri Rama amat murka lalu menolak air yang keruh lalu membawa sendiri Sita Dewi ke arah telaga yang jernih, diberi isterinya minum air yang jernih dan Seri Rama sendiri pun meminumnya.Selepas itu mereka berdua pun berubah menjadi sepasang kera berwarna putih dan terus berlari masuk ke hutan dan masuk dalam kawanan kera yang lain.Laksamana pun tahu itu adalah kerja Bota Maharajawana, lalu dia pun berpatah balik ketempat Tok Mah Siko untuk menceritakan perkara yang sebenar.

Atas nasihat Tok Mah Siko, Laksamana pun membawa benih pisang dan jagung untuk ditanam dikawasan hutan tempat Seri Rama dan Sita Dewi disumpah menjadi kera.Setelah sekian lama berhuma, dan setelah buah pisang telah masak, maka turunlah sekawan kera masuk ke dalam kebun Laksamana.Dilihatnya di antara banyak banyak kera itu, ada dua ekor kera yang lain dari yang lain, lalu Laksamana pun memasang perangkap untuk sepasang kera putih tersebut.Setelah masuk perangkap itu, Laksamana pun terus membawa perangkap itu lalu diselamkan semula ke dalam telaga berair keruh. Tiba - tiba dua ekor kera itu pun bertukar rupa menjadi Seri Rama dan Sita Dewi semula.Mereka sangat gembira lalu meneruskan perjalanan pulang.

Bota Maharajawana yang sentiasa mengekori mereka masih tidak berputus asa, lalu dia pun menukar dirinya menjadi seekor kijang emas dan berlari kencang dihadapan mereka.Sita Dewi pun terpegun dengan kehebatan dan kecantikan kijang emas tersebut lalu meminta suaminya Seri Rama memburu kijang tersebut.Maka tinggallah Laksamana bersama kakaknya Sita Dewi, sementara Seri Rama pergi memburu kijang emas tersebut.

Lama menunggu, Laksamana pun merasa tidak sedap hati dan mengagak yang Seri Rama telah tersesat jalan didalam hutan, lalu dia pun mengambil keputusan untuk pergi mencari Seri Rama.Sebelum dia pergi dia telah berpesan kepada Sita Dewi supaya tidak pergi kemana-mana, lalu dibuatnya satu goresan di tanah iaitu garisan bulat mengelilingi Sita Dewi, satu garisan hikmat yang dinamakan “Paris Laksamana”, ilmu Paris Laksamana ini masih diamalkan oleh orang-orang tua dulu untuk memagar kawasan rumah dan kebun , mengelakkan dari pencuri atau musuh.Barang siapa yang melangkah garisan ini akan patah kaki, tangan dan tubuhnya.

Peluang keemasan ini tidak disia-siakan oleh Bota Maharajawana, dia pun terus menerpa untuk menyambar Sita Dewi tetapi dia tidak mampu melintasi garisan Paris Laksamana kerana hikmat ilmunya.Bota Maharajawana pun mulalah mencari helah lain , iaitu dia pun berupa dirinya menjadi seorang wanita tua penjual bunga.Bunga-bunga yang dibawanya sangat cantik dan harum sehinggakan Sita Dewi terlupa akan pesan Laksamana, lalu dia pun melangkah keluar dari garisan hikmat Paris Laksamana.

Sebaik saja sita Dewi keluar dari garisan itu, Bota Maharajawana pun terus menyambar dan menculik Sita Dewi, diterbangkan kembali ke negeri asalnya.

Ketika Seri Rama dan Laksamana sampai ketempat Sita Dewi, mereka dapati Sita Dewi telahpun diculik oleh Bota Maharajawana, mujurlah ketika dalam perjalananan semasa diculik itu Sita Dewi sempat melemparkan perca-perca kainnya supaya Seri Rama dan Laksamana tidak kehilangan jejaknya.

Dengan mengikut jejak perca kain itu, maka mereka sampailah ke tepi sebuah lautan yang luas, maka tahulah mereka Sita Dewi telahpun diterbangkan melepasi lautan tersebut dan merekapun bersedih kerana telah kehilangan jejak.

Dikisahkan ketika Bota Maharajawana membawa pulang Sita Dewi ke istananya, dia meletakkan Sita Dewi yang sudah berbadan dua itu dalam bilik kurungan, hanya untuk ditatap saja kerana dia berbangsa jin dan tidak boleh mengahwini bangsa manusia.Oleh kerana wajahnya yang sangat cantik jelita itu, Sita Dewi diculik hanya untuk dilihat saja!

Setelah beberapa lama dalam bilik kurungan, maka Sita Dewi pun melahirkan seorang anak lelaki.Terkejut sungguh Sita Dewi kerana anak lelaki yang dilahirkannya itu berwajah manusia tetapi mempunyai ekor seperti seekor kera.Maka teringatlah Sita Dewi bahawa dirinya dan Seri Rama dulu pernah hidup sebagai kera di hutan, lalu diberikan nama anak itu Hanuman Kera Putih.Seperti perangai seekor kera, Hanuman Kera Putih itu memanjat ke sana kemari di istana Bota Maharajawana, kadang-kadang Hanuman Kera Putih itu menyelongkar bilik Bota Maharajawana sendiri sehingga Bota Maharajawana naik berang.Pada suatu hari, kerana tidak tahan mengawal perasaan marahnya Bota Maharajawana telah melempar sekuat tenaga Hanuman Kera Putih sehingga melepasi lautan dan jatuh diatas sepohon pokok ru.Dulu pokok ru daunnya lebar-lebar.

Ketika sedang memanjat di atas pokok tersebut, maka terlihatlah Hanuman Kera Putih dua orang lelaki tampan sedang tidur dibawah pokok tersebut.Setelah diamati betul-betul barulah Hanuman Kera Putih tahu bahawa orang yang berada dibawah pokok itu adalah ayahnya sendiri Seri Rama dan bapa saudaranya Laksamana.Ciri-ciri dan identiti diri mereka telahpun diceritakan oleh ibunya Sita Dewi iaitu ayahnya Seri Rama, mukanya sebelah putih dan sebelah hijau manakala bapa saudaranya Laksamana sebelah mukanya putih dan sebelah lagi merah.Oleh itu Hanuman Kera Putih pun menjatuhkan air liurnya ke atas muka ayahnya Seri Rama yang sedang tidur.Seri Rama tersedar dari tidurnya lalu mengejutkan Laksamana, tetapi Laksamana menyuruh Seri Rama supayta tidak menghiraukannya, mungkin air embun yang jatuh dari daun pokok tersebut.Setelah melihat ayahnya kembali tidur, Hanuman Kera Putih pun meludahkan air liurnya semula ke atas muka ayahnya dengan tujuan bergurau.Seri Rama pun segera bangun, mencapai panah Laksamana lalu dipanahnya pohon ru tersebut dengan “Panahan Laksamana”, Pokok Ru yang asalnya berdaun lebar,terkena panahan Seri Rama seperti dipusar taufan hebat, itu sebabnya sehingga kini daunnya menjadi halus.Selepas itu terlihatlah oleh Seri Rama akan seekor kera berwarna putih berada di atas pokok itu, rupa-rupanya inilah kera yang menganggu tidurnya.Seri Rama pun mula mengangkat busur panah dan ingin memanah Hanuman Kera Putih tetapi sempat ditegah oleh Laksamana.

Setelah dipanggil turun ke tanah, mereka pun bertanya asal usul Hanuman Kera Putih, maka diceritakan semua kisah hidupnya seperti yang pernah diceritakan oleh ibunya Sita Dewi.Seri Rama masih belum percaya itu adalah anaknya, tetapi setelah diyakinkan oleh Laksamana, bahawa suatu masa dahulu Seri Rama dan Sita Dewi pun pernah menjadi kera, dan setelah ditunjukkan bukti tanda bintang dewa di dalam mulut Hanuman Kera Putih, barulah Seri Rama akur dan mengakui itu adalah anaknya .

Bila tiba waktu makan, maka Laksamana pun mengambil sehelai daun pisang yang dulu tidak ada pelepahnya, tetapi setelah Seri Rama menggariskan dengan jari telunjuknya, membuat satu garis pemisah lurus di atas daun pisang itu agar makanannya terpisah dengan makanan Hanuman Kera Putih, maka hingga kini daun pisang itu menjadi lekuk dan membentuk pelepah pisang.Itu sebabnya dalam agama hindu, pokok ,buah dan daun pisang menjadi satu benda yang dimuliakan sehingga kini.

Selepas itu Seri Rama memberikan tugas untuk mengambil dan membawa pulang isterinya Sita Dewi dari Bota Maharajawana kepada anaknya Hanuman Kera Putih.Tugas pertama yang perlu dilakukan oleh Hanuman Kera Putih ialah dengan cara menambak laut untuk menjadi laluan mereka ke negeri Bota Maharajawana.Siang malam Hanuman Kera Putih bekerja dengan memunggah tanah dan mencabut bukit bukau menambak laut.Bila tambak itu dibina hingga ditengah lautan,maka runtuh pula tambak itu.Bila Hanuman Kera Putih mengintip angkara perbuatan siapakah yang meruntuhkan tambaknya, maka tahulah Hanuman Kera Putih, yang membuatnya adalah seekor ikan besar dengan cara melibaskan ekornya pada tambak tersebut.Maka dengan tidak berlengah lagi Hanuman pun terjunlah kedalam laut untuk menangkap ikan tersebut.Rupa-rupanya ikan tersebut adalah jelmaan dewa perempuan, lalu dinikahi oleh Hanuman Kera Putih seterusnya melahirkan zuriatnya bernama Hanuman Kera Ikan yang akan menguasai alam di lautan.

Akhirnya tambak yang dibina semula oleh Hanuman Kera Putih siap dan mereka bertiga iaitu Hanuman bersama Seri Rama dan Laksamana pun mara lah ke negeri Bota Maharajawana untuk merampas kembali Sita Dewi dari tangan Bota Maharajawana.Tambak ini masih dipercayai wujud oleh orang-orang tua kita dulu, kerana sewaktu menaiki kapal untuk menunaikan haji ke Mekah , apabila kapal melintasi tambak ini, maka kapal seolah-olah lekat dan bergeser dengan tambak ini seketika.

Dipendekkan cerita, Hanuman Kera Putih telah mencabut sebuah bukit lalu dihempapkan ke atas Bota Maharajawana.Sehingga tahun 1800- an ,orang – orang tua kita menceritakan sesiapa yang membawa cuka melalui bukit tersebut, maka bukit tersebut akan bergegar.

Mengikut arwah datuk saya, itulah permulaan cerita asal wayang kulit, apa yang kita dengar kemudian dari itu adalah cerita-cerita peperangan dan penaklukan Seri Rama dan Hanuman Kera Putih.Watak-watak lain selain dari Pak Dogol dan Wak Long seperti Wok yoh, Samad, Said dan lain-lain itu adalah watak-watak baru yang diketengahkan oleh Tok Dalang moden untuk menyedapkan jalan cerita.

*Beberapa persoalan sekitar cerita ini yang harus kita fikirkan bersama ialah:

1.Jika Tanah Dewa runtuh,dimana pula Tanah Dewa yang baru?

2.Dimanakah lokasi sebenar dua bahagian buah pinang yang jatuh itu, benarkah satu di Tanah Jawa dan satu lagi di Tanah Hindustan?

3.Siapakah sebenarnya watak Tok Mah Siko Batu Api itu dan dimanakah tempat tinggalnya sehinggakan dia menjadi tumpuan murid dari seluruh dunia?

4.Jika benar Kampung Tar Tujuh di Kelantan ada kaitan dengan 7 pokok Tar yang tumbuh diatas belakang seekor naga, maka cerita ini bukanlah hikayat dongeng semata-mata, perlu kajian lebih teliti.

5.Dimanakah lokasi sebenar laut atau sungai yang digunakan oleh ibu Sita Dewi untuk menghanyutkannya? Apakah itu Sungai Gangga atau Sungai suci orang Hindu?

6.Dimanakah lokasi sebenar lautan yang dibina tambak oleh Hanuman Kera Putih itu?

7.Dimanakah lokasi sebenar bukit yang menindih Bota Maharajawana itu?



Cuba fikirkan kata-kata Pak Dogol bagaimana cara untuk mengenal Dewa Se Alam Tunggal, iaitu dengan Hakikat bukan dengan Syariat… jadi siapakah sebenarnya Dewa Se Alam Tunggal dalam cerita wayang kulit ini saudara?






"ORANG seperti dia, tidak dapat tanpa diketahui dibiarkan begitu saja. Dia harus diincar sebagai calon pemimpin Islam. Jika dia menggabungkan diri dengan kaum Muslimin dalam peperangan melawan orang-orang kafir, kita harus mengangkatnya kedalam golongan pemimpin" demikian keterangan Nabi ketika berbicara tentang Khalid sebelum pahlawan ini memeluk Islam.

Khalid dilahirkan kira-kira 17 tahun sebelum masa pembangunan Islam. Dia anggota suku Banu Makhzum, suatu cabang dari suku Quraisy. Ayahnya bernama Walid dan ibunya Lababah. Khalid termasuk diantara keluarga Nabi yang sangat dekat. Maimunah, bibi dari Khalid, adalah isteri Nabi s.a.w. Dengan Umar sendiri pun Khalid ada hubungan keluarga, yakni saudara sepupunya.

Ayah Khalid yang bernama Walid, adalah salah seorang pemimpin yang paling berkuasa diantara orang-orang Quraisy. Dia sangat kaya. Dia menghormati Ka'bah dengan perasaan yang sangat mendalam. Sekali dua tahun dialah yang menyediakan kain penutup Ka'bah. Pada masa ibadah Haji dia memberi makan dengan cuma-cuma bagi semua orang yang datang berkumpul di Mina. Ketika orang Quraisy memperbaiki Ka'bah tidak seorang pun yang berani meruntuhkan dinding-dindingnya yang tua itu. Semua orang takut kalau-kalau jatuh dan mati. Melihat suasana begini Walid maju kedepan dengan bersenjata sambil berteriak, "Ya, Tuhan jangan marah kepada kami. Kami berniat baik terhadap rumahMu".

Nabi mengharap-harap dengan sepenuh hati, agar Walid masuk Islam. Harapan ini timbul kerana Walid seorang kesatria yang berani dimata rakyat. Kerana itu dia dikagumi dan dihormati oleh orang banyak. Jika dia telah masuk Islam ratusan orang akan mengikutinya. Dalam hati kecilnya Walid merasa, bahwa Al Qur-'an itu adalah kalimat-kalimat Allah. Dia pernah mengatakan secara jujur dan terang-terangan, bahwa dia tidak boleh berpisah dari keindahan dan kekuatan ayat-ayat suci itu.

Ucapan yang terus terang ini memberikan harapan bagi Nabi, bahwa Walid akan segera masuk Islam. Tetapi impian dan harapan ini tak pernah menjadi kenyataan. Kebanggaan atas diri sendiri membendung bisikan-bisikan hati nuraninya. Dia takut kehilangan kedudukannya sebagai pemimpin bangsa Quraisy. Kesangsian ini menghalanginya untuk menurutkan rayuan-rayuan hati nuraninya. Sayang sekali orang yang begini baik, akhirnya mati sebagai orang yang bukan Islam. Suku Banu Makhzum mempunyai tugas-tugas penting. Jika terjadi peperangan, Banu Muhzum lah yang mengurus gudang senjata dan gudang tenaga tempur. Suku inilah yang mengumpulkan kuda dan senjata bagi prajurit-prajurit.

Tidak ada cabang suku Quraisy lain yang boleh lebih dibanggakan seperti Banu Makhzum. Ketika diadakan kepungan maut terhadap orang-orang Islam dilembah Abu Thalib, orang-orang Banu Makhzumlah yang pertama kali mengangkat suaranya menentang pengepungan itu.

Kita tidak banyak mengetahui mengenai Khalid pada masa kanak-kanaknya. Tetapi satu hal kita tahu dengan pasti, ayah Khalid orang berada. Dia mempunyai kebun buah-buahan yang membentang dari kota Mekah sampai ke Taif. Kekayaan ayahnya ini membuat Khalid bebas dari kewajiban-kewajibannya.

Dia lebih leluasa dan tidak perlu belajar berdagang. Dia tidak perlu bekerja untuk menambah pencarian orang tuanya. Kehidupan tanpa suatu ikatan memberi kesempatan kepada Khalid mengikuti kegemarannya. Kegemarannya ialah berlawan, tinju dan berkelahi. Saat itu pekerjaan dalam seni peperangan dianggap sebagai tanda seorang Satria. Panglima perang bererti pemimpin besar. Kepahlawanan adalah satu hal terhormat di mata rakyat. Ayah Khalid dan beberapa orang bapa saudaranya adalah orang-orang yang terpandang dimata rakyat. Hal ini memberikan dorongan keras kepada Khalid untuk mendapatkan kedudukan terhormat, seperti ayah dan bapa saudaranya. Satu-satunya permintaan Khalid ialah agar menjadi orang yang dapat mengatasi teman-temannya didalam hal peperangan. Sebab itulah dia menceburkan dirinya kedalam seni peperangan dan seni bela diri. Malah mempelajari keahlian mengendarai kuda, bermain pedang dan memanah. Dia juga mencurahkan perhatiannya kedalam hal memimpin angkatan perang. Bakat-bakatnya yang asli, ditambah dengan latihan yang keras, telah membina Khalid menjadi seorang yang luar biasa. Kemahiran dan keberaniannya mengagumkan setiap orang.
Pandangan yang ditunjukkannya mengenai taktik perang menakjubkan setiap orang. Mengikut pandangan orang lain, bahwa dia akan menjadi ahli dalam seni kemiliteran dan ketua peperangan. Dari masa kanak-kanaknya dia memberikan harapan untuk menjadi ahli perang yang luar biasa.

Menentang Islam.
Pada masa kanak-kanaknya Khalid telah kelihatan menonjol diantara teman-temannya. Dia telah sanggup merebut tempat istimewa dalam hati rakyat. Lama kelamaan Khalid menanjak menjadi pemimpin suku Quraisy. Pada waktu itu orang-orang Quraisy sedang memusuhi Islam. Mereka sangat anti dan memusuhi agama Islam dan penganut-penganut Islam. Kepercayaan baru itu menjadi bahaya bagi kepercayaan dan adat istiadat orang-orang Quraisy. Orang-orang Quraisy sangat mencintai adat kebiasaannya. Sebab itu mereka mengangkat senjata untuk menggempur orang-orang Islam. Tunas Islam harus dihancurkan sebelum tumbuh berurat ber-berakar. Khalid sebagai pemuda Quraisy yang berani dan bersemangat berdiri digaris paling depan dalam penggempuran terhadap kepercayaan baru ini. Hal ini sudah wajardan seirama dengan kehendak alam.

Sejak kecil pemuda Khalid bertekad menjadi pahlawan Quraisy. Kesempatan ini diperolehnya dalam pertentangan-pertentangan dengan orang-orang Islam. Untuk membuktikan bakat dan kecakapannya ini, dia harus menonjolkan dirinya dalam segala pertempuran. Dia harus memperlihatkan kepada sukunya kwalitasnya sebagai pekelahi.

Peristiwa Uhud Kekalahan kaum Quraisy didalam perang Badar membuat mereka jadi kegila-gilaan, kerana penyesalan dan panas hati. Mereka merasa terhina. Rasa sombong dan kebanggaan mereka sebagai suku Quraisy telah meluncur masuk lumpur kehinaan Arang telah tercoreng dimuka orang-orang Quraisy. Mereka seolah-olah tidak boleh lagi mengangkat dirinya dari lumpur kehinaan ini. Dengan segera mereka membuat persiapan-persiapan untuk membalas pengalaman pahit yang terjadi di Badar.

Sebagai pemuda Quraisy, Khalid bin Walid pun ikut merasakan pahit getirnya kekalahan itu. Sebab itu dia ingin membalas dendam sukunya dalam peperangan Uhud. Khalid dengan pasukannya bergerak ke Uhud dengan satu tekad menang atau mati. Orang-orang Islam dalam pertempuran Uhud ini mengambil posisi dengan membelakangi bukit Uhud. Sungguhpun kedudukan pertahanan baik, masih terdapat suatu kekhawatiran. Dibukit Uhud masih ada suatu tanah genting, dimana tentara Quraisy dapat menyerbu masuk pertahanan Islam. Untuk menjaga tanah genting ini, Nabi s.a.w menempatkan 50 orang pemanah terbaik. Nabi memerintahkan kepada mereka agar bertahan mati-matian. Dalam keadaan bagaimana jua pun jangan sampai meninggalkan pos masing-masing.
Khalid bin Walid memimpin sayap kanan tentara Quraisy empat kali lebih besar jumlahnya dari pasukan Islam. Tetapi mereka jadi ragu-ragu mengingat kekalahan-kekalahan yang telah mereka alami di Badar. Kerana kekalahan ini hati mereka menjadi kecil menghadapi keberanian orang-orang Islam. Sungguh pun begitu pasukan-pasukan Quraisy memulai pertempuran dengan baik. Tetapi setelah orang-orang Islam mulai longlai pertahanan mereka, mereka telah gagal untuk mempertahankan tanah yang mereka pertahankan.

Kekuatannya menjadi terpecah-pecah. Mereka lari cerai-berai. Peristiwa Badar berulang kembali di Uhud. Saat-saat kritis sedang mengancam orang-orang Quraisy. Tetapi Khalid bin Walid tidak goncang dan sarafnya tetap membaja. Dia mengumpulkan kembali anak buahnya dan mencari kesempatan baik guna melakukan pukulan yang menentukan. Melihat orang-orang Quraisy cerai-berai, pemanah-pemanah yang bertugas ditanah genting tidak tahan hati. Pasukan Islam tertarik oleh harta perang, harta yang ada pada mayat-mayat orang-orang Quraisy. Tanpa pikir panjang akan akibatnya, sebagian besar pemanah-pemanah, penjaga tanah genting meninggalkan posnya dan menyerbu kelapangan.

Pertahanan tanah genting menjadi kosong. Khalid bin Walid dengan segera melihat kesempatan baik ini. Dia menyerbu ketanah genting dan mendesak masuk. Beberapa orang pemanah yang masih tinggal dibunuh bersama-sama. Tanah genting dikuasai oleh pasukan Khalid dan mereka menjadi kuat untuk menggempur pasukan Islam dari belakang. Dengan kecepatan yang tak ada taranya Khalid masuk dari garis belakang dan menggempur orang Islam dipusat pertahanannya. Melihat Khalid telah masuk melalui tanah genting, orang-orang Quraisy yang telah lari cerai-berai berkumpul kembali dan mengikuti jejak Khalid menyerbu dari belakang.

Khalid bin Walid telah merubah kemenangan orang Islam di Uhud menjadi suatu kehancuran. Mestinya orang-orang Quraisylah yang kalah dan cerai-berai. Tetapi kerana gemilangnya Khalid sebagai ahli siasat perang, kekalahan-kekalahan telah diterimanya menjadi satu kemenangan. Dia menemukan kesilapan dan kelemahan pertahanan orang Islam. Hanya pahlawan Khalidlah yang dapat mencari saat-saat kelemahan lawannya. Dan dia pula yang sanggup menarik kembali tentara yang telah cerai-berai dan memaksanya untuk bertempur lagi. Seni perangnya yang luar biasa inilah yang mengungkap kekalahan Uhud menjadi suatu kemenangan bagi orang Quraisy.

Ketika Khalid bin Walid memeluk Islam Rasulullah sangat bahagia, kerana Khalid mempunyai kemampuan berperang yang dapat digunakan untuk membela Islam dan meninggikan kalimatullah dengan perjuangan jihad. Dalam banyak kesempatan peperangan Islam Khalid bin Walid diangkat menjadi ketua perang dan menunjukkan hasil gemilang atas segala upaya jihadnya. Betapa hebatnya Khalid bin Walid di dalam medan pertempuran, dengan berbagai luka yang menyayat badannya, namun ternyata kematianya diatas katilnya. Betapa menyesalnya Khalid harapan untuk mati sahid dimedan perang ternyata tidak tercapai dan Allah menghendakinya mati di atas katil tidurnya, sesudah perjuangan membela Islam yang luar biasa itu. Demikianlah kekuasaan Allah. Manusia berasal dari Allah dan akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya.

Sultan Muhammad Al-Fateh


Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, "...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?
Biodata Ringkas

Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Baginda menaiki takhta ketika berusia  19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.
Pendidikan

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan,  memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
Keperibadian

Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.
Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan(warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.
Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau "penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.
Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk kota hebat Konstantinopel.

Senjata Melayu

Lawi Ayam
Parang Ilang Iban
Kelewang Jambul
Pedang Samurai Versi Melayu
Pedang Rotan
Keris Luk 3
Pedang Samurai
Keris Luk 7
Keris Luk 5 
Keris Fatani Lurus
Keris Lurus Semenanjung
Keris Pekaka